Saturday, August 15, 2009

Peperiksaan PTK


4. Pelan Integriti Nasional

Definisi Integriti
Satu nilai berkaitan dengan amanah. jujur, boleh dipercayai dan sentiasa mengambil berat kepentingan organisasi tanpa mengambil peluang untuk diri sendiri.

Konsep PIN
· Pelan induk hala tuju dan bimbingan untuk bekerjasama membina masyarakat bermoral, beretika dan berintegriti tinggi.
· Digerakkan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan rakyat.
· Kerjasama dan sinergi menjadi kekuatan ke arah perubahan nilai dan amalan masyarakat.
Objektif
1. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor negara dan masyarakat terhadap integriti.
2. Menjadikan integriti budaya masyarakat.
3. Memperkukuhkan asas moral masyarakat dan negara.
4. Meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
5. Meningkatkan daya saing dan daya tahan negara dalam usaha menangani cabaran globalisasi.

Lima Sasaran PIN
1. Mengurangkan gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.
2. Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, mengatasi kerenah biroksasi dan penyelewengan.
3. Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
4. Memantapkan institusi keluarga.
5. Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Masalah Integriti di Sekolah
1. Bahagian kewangan
2. Bahagian pembelian alatan
3. Bahagian P&P
4. Bahagian program sekolah
5. Bahagian jadual waktu
6. Projek pembangunan sekolah
7. Kemasukan pelajar baharu
8. Bahagian komputer
Sifat dan Gaya Kepimpinan Pengetua
1. Bekerjasama dengan orang bawah
2. Membina kumpulan yang bersatu
3. Komunikasi yang efektif & terbuka
4. Mementingkan pencapaian akademik
5. Tahu menggunakan kuasa yang ada untuk menjayakan kerja
6. Menggunakan kuasa dengan gaya terkawal
Pelan Tindakan – atasi masalah integriti di sekolah
1. Program membudayakan Al-Quran
2. Program kuliah minda
3. Kursus dalaman – pengurusan stok
4. Kelas tambahan & tuisyen
5. Kursus profesionalisme
6. Sifat dan gaya kepimpinan pengetua

5. Tonggak 12
Diperkenalkan pada 2 Mac 1992 oleh Dato’ Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid untuk dihayati dan diamalkan oleh penjawat awam.
Tonggak 12
Amalan-amalan Positif
1. Menghargai masa
· Menepati masa
· Menyegerakan tugas
· Mempunyai perancangan waktu
· Bijak menguruskan tempoh yang diberi
· Menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif
· Menetapkan tempoh hari untuk menyiapkan kerja
· Menyelesaikan tugas dalam masa yang ditetapkan
2. Ketekunan membawa kejayaan
· Gigih dalam melaksanakan tugas yang mencabar
· Rajin dan sentiasa berusaha
· Tekun dalam menjalankan tugas
· Sabar dalam menghadapi cabaran pekerjaan
· Berdisiplin dalam setiap pekerjaan
· Bercita-cita tinggi
· Bersemangat dalam melaksanakan tugas yang diarah dengan dedikasi dalam mencapai matlamat organisasi
· Sanggup berkorban
· Berpandangan jauh
· Gigih menghadapi kesulitan semasa bertugas
· Tidak patah semangat
3. Keseronokan bekerja
· Menggaggap kerja sebagai ibadah
· Mempunyai inisiatif sendiri
· Menghasilkan sesuatu yang berfaedah
· Mempunyai komitmen terhadap kerja
· Sedia memberi kerjasama
4. Kemuliaan kesederhanaan
· Jelas dan jitu dalam pemikiran, penulisan dan percakapan
· Tidak tamakkan pangkat dan kedudukan
· Tidak membazir dalam perbelanjaan pejabat
· Bersifat pemaaf dalam pergaulan
· Boleh menerima teguran
· Berlaku adil dalam semua tindakan
· Menepati janji
· Merendah diri
· Sedia menerima cadangan dan nasihat
· Jujur dan ikhlas
· Berjimat cermat
· Bijaksana dalam membuat pertimbangan
· Bermaruah dan berhemah tinggi
· Cermat dalam lata-kata
· Mesra dalam pergaulan
· Tidak memperagakan kemewahan
· Senang didampingi oleh semua pihak
5. Ketinggian Peribadi
· Teguh beriman dan bertakwa dalam setiap tindakan
· Menyempurnakan tugas dengan amanah
· Bersifat ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab
· Berilmu dan berpengetahuan luas
· Mengutamakan keadilan dalam setiap perbuatan
· Sedia berkorban
· Bersifat penyayang
· Berlumba-lumba menyumbangkan kebajikan
· Kemas dalam pakaian, pemikiran dan tindakan
· Bersifat sabar dan teguh menghadapi cabaran
· Bersopan santun serta sederhana dalam kelakuan
· Taat setia dan patuh kepada arahan
· Bersyukur dan menghargai kebaikan
· Bersih daripada sifat dengki
· Berani dan berpendirian teguh
· Bertanggungjawab dan sedia berbakti
· Jimat cermat dalam segala aspek
· Tertib dan baik budi bicara
· Cergas dan cekap dalam menjalankan tugas
· Gigih menghadapi cabaran
· Bekerjasama dan saling menghormati
· Bertimbang rasa tetapi tegas
6. Kekuatan sifat baik hati
· Bersopan santun setiap masa
· Pemaaf dan berhemah tinggi
· Simpati kepada kesusahan dan masalah orang lain
· Ikhlas dan bertimbang rasa
· Mudah mesra dan bekerjasama
· Merendah diri
· Berbudi mulia
· Boleh menerima teguran
· Berlaku adil dalam semua tindakan
· Sedia menerima cabaran
· Pemurah dalam usaha kebaikan
7. Pengaruh teladan
· Sentiasa berkelakuan baik
· Tidak tamak kepada harta dan kedudukan
· Bermoral dan berakhlak tinggi
· Tertib dan beradab sepanjang masa
· Rajin dan kuat bekerja
· Berpandangan jauh
· Amanah dan bertanggungjawab
· Jujur dan ikhlas dalam setiap masa
· Mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri
· Berdisiplin dalam semua tindakan
· Sanggup berkorban setiap ketika
· Bekerjasama untuk kebaikan
· Sederhana dalam tindakan dan tutur kata
· Berani mempertahankan kebaikan dan kebenaran
· Berbudi mulis serta merendah diri
· Gemar dan cintakan ilmu yang bermanfaat
· Bersih hati dan fikiran
8. Kewajipan menjalankan tugas
· Sentiasa bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan
· Tekun dan sabar menjalankan tugas
· Selalu mempunyai inisiatif sendiri
· Boleh diharap untuk menyempurnakan tugas
· Mementingkan kualiti
· Cergas dan pantas bekerja
· Cermat dan berdisiplin dalam segala perkara
· Sentiasa belajar daripada kesalahan
· Bersikap profesional dan cekap menjalan kan tugas
· Akauntabiliti
9. Kebijaksanaan berhemat
· Berhati-hati apabila berbelanja
· Akauntabiliti
· Tidak membazirkan harta kerajaan
· Tahu membezakan antara keperluan dengan kemewahan
· Menyelenggara harta kerajaan dengan baik
· Bertanggungjawab atas perbelanjaan yang dilakukan
· Mengadakan sistem kewangan yang berkesan
· Menyedari bahawa hasil kerajaan datangnya daripada rakyat
10. Keutamaan kesabaran
· Tenang menghadapi masalah rumit
· Mempunyai perhitungan jauh
· Daya menerima cabaran
· Tidak putus asa
· Cermat dalam tutur kata
· Pemaaf dan berhemah tinggi
11. Peningkatan bakat
· Memberi dorongan kepada kreativiti
· Memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha original
· Memberi galakan kepada pemikiran baru
· Mengenal dan memupuk bakat-bakat yang ada
· Menggalakkan penyertaan dalam aktiviti kreatif
· Menggalakkan percambahan fikiran
· Menyediakan persekitaran dan suasana yang dapat melahirkan idea-idea kreatf
· Berani mencuba idea-idea baru
12. Nikmat mencipta
· Berasa puas kerana sesuatu idea atau cadangan dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan
· Sentiasa berada dalam cabaran intelektual
· Sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah
· Berusaha dengan semangat penuh
· Gembira melihat wujudnya idea dan kaedah baru dalam pentadbiran
· Seronok menjana idea dan berani mencuba


6. Rukun Negara
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. Pencapaian perasaan kebangsaan serta identiti dan nilai bersama di kalangan rakyat negara ini boleh dicapai melalui kepatuhan rakyat kepada ideologi negara iaitu “Rukunegara”. Rukunegara adalah menjadi menjadi peraturan hidup atau norma hidup yang sangat penting kepada setiap anggota masyarakat di negara ini. Kepatuhan kepada norma sosial adalah sangat penting, jika diamalkan oleh setiap rakyat di negara ini,sudah pasti ia akan dapat mewujudkan perpaduan di kalangan kelompok pelbagai kaum di negara itu.

Prinsip Rukun Negara
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
1. Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya.
2. Memelihara cara hidup demokratik.
3. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama.
4. Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak.
5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Ikrar Rukun Negara
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan

Penjelasan Prinsip Rukun Negara

Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Dengan ini jelaslah bahawa penerimaan rakyat seluruhnya terhadap prinsip-prinsip Rukunegara dan mengamalkannya pula dalam kehidupan sosial seharian masing-masing, sudah pasti dapat membantu melahirkan perpaduan sosial dalam mana-mana anggota masyarakat di negara ini tanpa mengira keturunan dan kaum. Bahkan ia juga dapat meringankan perasaan kegelisahan, tekanan hidup dan mengurangkan kesan krisis dalam kehidupan masyarakat dan negara. Di samping itu, melalui amalan-amalan kepada prinsip-prinsip Rukunegara di kalangan rakyat dapat menjamin kewujudan sistem kerajaan yang bersifat demokratik dan stabil.

7. Piagam Pelanggan
Dilancarkan pada 3 Januari 1994.
1. Menyediakan sistem pendidikan yang terbaik berasaskan budaya ilmu bagi memenuhi kehendak individu, masyarakat dan negara serta memenuhi matlamat perpaduan negara.
2. Menentukan keluaran sistem pendidikan mempunyai nilai-nilai teras yang ditetapkan dan ciri-ciri yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
3. Memberi peluang yang sama kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang, agama dan keturunan untuk mendapat pendidikan yang sebaik-baiknya.
4. Mewujudkan jentera dan sistem pengurusan pendidikan yang cekap, berkesan, canggih, dinamik dan berteraskan kepada pembaharuan yang berterusan.
5. Menguruskan kerja dengan cekap, pantas dan bijaksana.
6. Menyediakan staf yang mencukupi serta berdedikasi, komited, terlatih, berdisiplin, bertanggungjawab dan produktif.
7. Menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan yang selesa, lengkap dan mencukupi berteraskan piawaian-piawaian tertentu selaras dengan pengamalan perkhidmatan penyayang.
8. Memastikan Kementerian sentiasa peka dan responsif kepada kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan pelanggan - murid, guru, masyarakat dan negara/kerajaan.
9. Meningkatkan kegemilangan dan martabat profesion keguruan untuk menarik individu-individu yang terbaik menyertai perkhidmatan pendidikan.
(Insyaallah akan bersambung lagi - mudah-mudahan kita akan memperoleh faedah daripada nota PTK ini)

Peperiksaan PTK


ASAS KOMPETENSI TERAS

Tata Kelakuan dan Sahsiah Guru Sebagai Penjawat Awam

1. Etika Perkhidmatan Awam
– Meningkatkan kefahaman mengenai nilai dan etika terutamanya berkaitan dengan Perkhidmatan Awam
– Menghayati Nilai dan Etika dari perspektif individu dan organisasi
– Membentuk penjawat awam yang bermoral dan beretika tinggi

Definisi Nilai
Nilai adalah ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Mengikut kajian sejarah, ilmu, kebijaksanaan, keadilan dan iktidal ( temperance ) merupakan nilai-nilai utama masyarakat.
Definisi Etika
Etika bermaksud tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Seseorang anggota perkhidmatan awam berkewajipan memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku seseorang pekerja dalam kerajaan. Etika boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap pelanggannya atau masayarakat. Etika kerja dalam perkhidmatan awam merupakan prinsip-prinsip moral yang ditetap oleh institusi kerajaan dengan tujuan mengawal tingkah laku anggota-anggota organisasi, demi memastikan tingkah laku mereka tidak bercanggah dengan sistem nilai organisasi berkenaan. Etika kerja ini merupakan panduan prinsip tingkah laku setiap anggota kerajaan berlandaskan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam. Etika kerja perkhidmatan awam hendaklah dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip berikut;
Teras Perkhidmatan Awam
1. Berazam meninggikan mutu perkhidmatan awam.
2. Bekerja dengan penuh tanggungjawab.
3. Berusaha mengikis sikap mementingkan diri.
4. Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan.
5. Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara.
6. Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh negara.
7. Berpegang teguh kepada ajaran agama.
8. Menjalankan tugas dengan memanifestasikan kejujuran, keyakinan, adil dan saksama.
9. Sentiasa menghayati dan memelihara martabat pekerja.
10. Menepati masa, larangan dan arahan.
11. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan.
12. Mematuhi prosedur mesyuarat dan prinsip muafakat.
Langkah-langkah Meningkatkan Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam
1. Panduan Perkhidmatan Cemerlang
2. Penggunaan Kad Perakam Waktu
3. Kempen Bersih, Cekap dan Amanah
4. Dasar Pandang Ke Timur
5. Peggunaan Tanda Nama
6. Kepimpinan Melalui Teladan
7. Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Awam
8. Tonggak Dua Belas
9. Citra Karya (Rukun Negara, Perintah Am, Arahan Perbendaharaan, PKPA.)

Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam
1. Taat setia
2. Amanah
3. Bertanggungjawab
4. Ikhlas
5. Dedikasi
6. Tekun
7. Berdisiplin
8. Sederhana
9. Bersih
10. Bekerjasama
11. Berbudi mulia
12. Bersyukur


2. Etika Profesion Keguruan
Tanggungjawab Terhadap Pelajar
a. Mengutamakan kebajikan dan keselamatan.
b. Bersikap adil tanpa mengira kedudukan.
c. Merahsiakan maklumat ikhtisas kecuali kepada pihak yang berhak mengetahuinya.
d. Membimbing pelajar tanpa sebarang bayaran.
e. Menunjukkan contoh berpakaian, pertuturan dan tingkah laku.
f. Memelihara dan membaiki kecekapan ikhtisas.
Tanggungjawab Terhadap Ibu bapa
a. Menghormati peranan dan tanggungjawab ibu bapa.
b. Mewujudkan hubungan mesra.
c. Menganggap semua maklumat daripada ibu bapa adalah sulit dan rahsia.
d. Memberi dan menerima maklumat yang tepat tentang anak-anak.
e. Elakkan daripada terpengaruh dengan kedudukan ibu bapa.
f. Elakkan kata-kata yang boleh menjejaskan kepercayaan ibu bapa.
Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara
a. Tidak menyebarkan maklumat yang boleh merosakkan pelajar, masyarakat dan negara.
b. Memupuk nilai-nilai positif dalam diri pelajar.
c. Menghormati masyarakat di tempat berkhidmat.
d. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan
a. Elakkan daripada membuat kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik.
b. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai seorang guru.
c. Berusaha menunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh.
d. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat.
e. Mengawasi diri daripada melakukan sesuatu yang mencemarkan nama baik profesion.
f. Menjadi anggota sesebuah pertubuhan guru.

3. Standard Guru Malaysia
Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.
Latar Belakang
Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama dan bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya. Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.
Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global. Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:
”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”
(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru. Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.

Rasional
Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
1. Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan.
2. Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi.
3. KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan.
4. Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.

Tujuan
Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:
1. Mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
2. Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
3. Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.

Penggubalan
Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
1. Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik.
2. Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan.
3. Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:
1. Guru
· Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
· Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.
2. Pengetua Sekolah
· Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
· Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.

(Mudah-mudahan rakan guru akan memperoleh manfaat. Insayaallah, jika berkesempatan banyak lagi maklumat yang akan dapat kita kongsi bersama.

Wednesday, August 12, 2009

Pemahaman Prosa Moden

Khusus untuk pelajar-pelajar 5 Sains SMK Sungai Kruit, Sungkai
Jawab semua soalan di bawah dan jawapan boleh dihantar secara bertulis atau emel kepada aer4732@yahoo.com

Latihan 1

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hidung Datuk Sukar kembang kempis.
“Sehingga ini saya masih percaya Datuk bukan ... bukan ... bukan ...” Suara Fuad menggelegak. “Datuk bukan seorang penyamun.”
Datuk Sukar melompat garang.
“Baik Fuad, baik.” Datuk Sukar berlari naik ke atas.
Fuad mencapai kertas perjanjian dari atas meja, memasukkan ke saku bajunya.
Datuk Sukar berlari turun. Mukanya menggerutu.
“Ini geran tanah mak kau. Ambil balik,” kata Datuk Sukar keras. “Kau sengaja membunuh peluang untuk jadi kaya-raya Fuad. Dan kau juga ... kau juga sengaja membunuh peluang untuk hidup di samping Junainah.”
“Ayah?” Junainah menerkam Datuk Sukar.
“Kau diam Junainah, diam!” tempik Datuk Sukar.
“Jangan lepas mulut bang,” pinta Datin Sipah.
“Awak juga diam Sipah, diam!”
“Saya tahu, itu bukan kata hati Datuk.” Fuad berusaha melembutkan semula suaranya. “Saya tahu....”
“Kau boleh pergi Fuad.” Datuk Sukar menuding ke arah pintu. “Dan mulai hari ini, jangan pijak lagi ke rumah ini. Kau juga bukan pekerja aku lagi.”

1.Kemukakan tiga bukti daripada petikan yang menunjukkan bahawa Datuk Sukar begitu marah. (3 markah)

2.Ibu bapa sepatutnya tidak campur tangan dalam soal anak-anak untuk memilih jodoh masing-masing. Berikan pendapat anda. (3 markah)

3.Huraikan aspek plot yang paling menonjol dalam petikan di atas. (3 markah)

Latihan 2
Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Puteri Hang Li Po:Begini Orang Kaya, beta sangat-sangat kesunyian kebelakangan ini. Sudah lima hari Sultan tidak datang ke sini. Sementara pemergian Tun Perpatih Putih ke negara China untuk menghadap ayahanda beta, Orang Kaya ditugaskan menjadi penasihat beta. Oleh itu, nasihatkanlah hati ini agar terhibur jua. Sudi apalah kiranya Orang Kaya menghibur hati ini yang sangat rindukan belaian kasih sayang tuan hamba.
Hang Jebat:(Seolah-olah terkejut) Tuanku Puteri! Sembah derhaka patik sembahkan Tuanku Puteri. Fahamlah patik sekarang bahawa Tuanku Puteri menaruh hati pada patik. Demi Allah, tidak patik sangka patik yang hina ini boleh dikasihi begitu. Jika patik sangka begini padahnya tidak akan patik terima tanggungjawab ini dahulu.
Puteri Hang Li Po:Begitu sekali tuan hamba bencikan beta maka sampai hati menghina beta begitu. Apakah kurangnya beta pada mata Orang Kaya. Percayalah tuan hamba, kalau kasih yang beta hulur ini mendapat sambutannya, pandailah kita sama-sama merahsiakannya.
Hang Jebat:Tidak Tuanku Puteri. Tidak sekali-kali akan hamba lakukan. Patik hulubalang Melayu. Sultan junjungan patik. Tuanku Puteri juga isteri Sultan dan dengan itu junjungan patik jua. Amat durjana hamba ini kalau atas nafsu yang tidak bertanggungjawab merelakan dirinya menderhakai junjungan. Setelah diberi kepercayaan itu janganlah Tuanku Puteri menguji pula keperwiraan dan taat setia patik terhadap tuan patik.

1. Nyatakan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Puteri Hang Li Po untuk menggoda Hang Jebat. (3 markah)
2. Sekiranya anda di tempat Hang Jebat, apakah tindakan anda setelah digoda oleh Puteri Hang Li Po. (3 markah)
3. Berdasarkan petikan di atas, huraikan 3 nilai murni yang dimiliki oleh Hang Jebat. (3 markah)

Rumusan (Bahasa Melayu 2 - SPM)

Salam sejahtera.

Kali ini saya akan memberi huraian lebih terperinci bagaimana menulis isi pendahuluan. Kita ambil petikan ini sebagai contoh.


Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menjadi penyebab perlakuan rasuah dan cara-cara untuk menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Rasuah merupakan perosak bangsa dan negara, sekali gus merupakan masalah besar yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia. Jika amalan rasuah tidak terkawal, jentera pentadbiran kerajaan akan lumpuh serta tidak berfungsi dengan baik dan akhirnya akan menyebabkan keruntuhan sesebuah negara. Amalan rasuah atau korupsi itu terdiri daripada berbagai-bagai jenis perlakuan. Kewujudannya dapat dilihat dalam pelbagai bentuk, saiz , tempat dan situasi. Oleh sebab itu, cara penyelesaiannya juga bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk ditangani. Pihak berkuasa memang menghadapi cabaran yang hebat dalam usaha membanteras kegiatan rasuah, terutamanya dalam kalangan kakitangan kerajaan.


Pendahuluan boleh ditulis dengan dua cara / pendekatan iaitu;

  1. Menukarkan kata kunci yang terdapat pada soalan (soalan yang menjurus kepada isi tersurat)
  2. Menyatakan pandangan secara keseluruhan mengenai petikan

Oleh itu, mulakan isi pendahuluan anda dengan "Petikan membincangkan .........

Sekiranya kita memilih pendekatan pertama, maka pendahuluan akan berbunyi begini - Petikan membincangkan punca-punca yang menjadi penyebab perlakuan rasuah. (kita gantikan perkataan faktor-faktor dengan punca-punca)

Sekiranya menggunakan pendekatan kedua, maka pendahuluan akan berbunyi begini - Petikan membincangkan penyebab perlakuan rasuah terutamanya dalam kalangan kakitangan kerajaan. (isi tambahan diambil daripada petikan - memang jelas petikan membincangkan isu rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan)

Sekian, selamat mencuba.


UJIAN DARIPADA ALLAH

Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi. Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi serangan virus H1N1. Kita mesti yakin bahawa sesuatu perkara atau kejadian tidak akan berlaku tanpa sebab. Begitu juga dengan pendemik maut H1N1 ini. Jadi, kita perlu sentiasa bersedia. Nasihat saya kepada para pelajar, jangan pandang mudah wabak ini. Patuhi segala arahan dan peringatan yang diberikan oleh pihak-pihak yang berwajib. Anda sendiri sepatutnya tahu di mana kedudukan anda dan bagaimana keadaan kesihatan anda.
Saya ingin menarik perhatian para pembaca, Allah sentiasa menguji hambanya dan ujian Allah boleh dalam bentuk bala atau nikmat. Bagi saya, pendemik H1N1 ini merupakan satu peringatan daripada Allah agar kita jangan terlalu sombong di muka bumi ini. Kita perlu insaf bahawa pada bila-bila masa sahaja ujian boleh berlaku. Oleh itu, kembalilah kepada ajaran agama. Jangan lagi kita berbalah antara satu sama lain. Semua kita adalah sama di sisi Allah. Tiada yang lebih mulia kecuali orang yang tinggi nilai imannya.
Untuk para pelajar, jadikanlah apa yang menimpa kita pada hari ini sebagai satu pengajaran. Tanamkan tekad dan iltizam untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menyayangi antara satu sama lain. Kita hidup hanya sementara. Jadi lakukanlah yang terbaik.
Khusus untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini, jaga kesihatan anda. Andalah harapan bangsa. Pastikan anda mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan H1N1. Semoga Allah melindungi anda semua.

Tuesday, August 11, 2009

Adakah anda yakin dengan kemampuan anda?

Salam sejahtera khusus kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Adakah anda yakin dengan kemampuan anda? Adakah anda yakin untuk menduduki kertas Bahasa Melayu?
Sepatutnya pada saat ini, dalam diri anda telah tersemat seribu keyakinan. Anda tidak boleh menoleh lagi sama ada ke kiri, ke kanan atau ke belakang. Teruskan perjuangan anda. Jadi dalam sedikit kesempatan ini, saya ingin memberi sedikit panduan kepada anda bagaimana cara yang terbaik untuk menjawab soalan rumusan.

Perkara-perkara asas;
  1. Pastikan dalam rumusan anda mengandungi isi pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan isi kesimpulan
  2. Seelok-eloknya setiap isi ditulis dalam perenggan yang berbeza
  3. Pastikan bilangan perkataan tidak melebihi 120 patah perkataan

Insyallah, saya akan memberikan maklumat yang lebih terperinci dalam artikel yang akan datang,

Monday, August 10, 2009

Soalan Bahasa Melayu SPM (Kertas 2)

Khusus untuk pelajar-pelajar 5Sains, 5 Teknik dan 5 Sains Kemasyarakatan


Tolong buat latihan rumusan ini.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca kemerosotan mutu sukan dan kesan-kesannya terhadap pembangunan sukan di negara kita.Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Walaupun pencapaian negara dalam bidang sukan telah mencapai tahap yang membimbangkan, namun semua pihak masih tercari-cari formula yang mampu mengatasi keadaan ini. Soalan seperti apa sebenarnya yang tidak kena, di mana silapnya dan kenapa ia terjadi begitu, sering ditimbulkan oleh pelbagai pihak tetapi jawapan mengenainya masih belum ditemui.
Ketika pencapaian negara dalam bidang sukan semakin merosot, rakyat Malaysia menyaksikan kemunculan infrastruktur dan kemudahan sukan bertaraf dunia di merata-rata tempat serta pengaliran dana yang tidak putus-putus dalam sektor itu selain penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan yang membuktikan kesunguhan kerajaan dalam memajukan bidang berkenaan. Di samping itu, lapan sukan teras dikenal pasti iaitu hoki, bola sepak, olahraga, skuasy, gimnastik, akuatik, badminton dan boling yang menerima peruntukan berjumlah RM193 juta daripada kerajaan bagi meningkatkan pencapaian pesertanya.
Dalam keghairahan melaksanakan usaha itu, beberapa masalah lama mungkin terlepas pandang, antaranya kekurangan padang permainan atau kemudahan untuk orang ramai bersukan, ketiadaan program pembangunan di peringkat akar umbi dan tiada kekuatan mental. Ketiadaan pertandingan sukan di peringkat daerah dan antara daerah bagi sekolah dan orang ramai seperti yang wujud suatu ketika dulu bagi mencungkil bakat baru dalam bidang sukan, turut menyumbang kepada kemerosotan pencapaian negara dalam bidang berkenaan hari ini. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata, "Bagi membolehkan sukan di Malaysia kembali maju, perubahan set minda perlu dilakukan. "Beliau berkata tanggungjawab melahirkan ahli sukan yang berkualiti tidak terletak di bahu persatuan, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Kebangsaan sahaja.
Ketiadaan proses untuk mengenal pasti pemain berkebolehan melalui pertandingan di peringkat daerah dan negeri serta penutupan beberapa akademi bola sepak yang diusahakan oleh negeri, banyak menyumbang kepada kekurangan pemain handalan yang dapat mewakili negeri masing-masing. Bekas setiausaha agung NUTP Datuk N. Siva Subramaniam berkata padang permainan di sekolah, terutama di bandar raya, semakin lenyap akibat pembangunan, yang sekaligus menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melakukan aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah. Beliau berkata banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan guru bahawa anak mereka tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah termasuk menyertai acara sukan sepanjang tahun.
Beliau juga memandang serius mengenai kurangnya sokongan guru besar dan pengetua sekolah dalam menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti sukan sepanjang tahun. "Ada sekolah yang menumpukan aktiviti kokurikulum hanya untuk tempoh tiga bulan pertama persekolahan bagi memberi tumpuan pada persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan manakala ada guru besar dan pengetua yang "membunuh" aktiviti sukan dengan menggantikan waktu mata pelajaran Pendidikan Jasmani dengan mata pelajaran lain. "Kita mempunyai jurulatih berkelayakan di sekolah, namun mereka tidak diberi peluang berbuat demikian," katanya.
Sesungguhnya, pembangunan sukan di negara ini perlu dijadikan agenda nasional serta melibatkan semua pihak kerana tanpanya, Malaysia akan terus ketinggalan dalam bidang ini walaupun banyak wang dibelanjakan untuk memajukannya.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Bernama – 11 Julai 2006)

Pemahaman Petikan Umum
1. Berikan maksud rangkai kata terlepas pandang. [2 markah]
2. Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan sukan di negara kita? [3 markah]
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak sekolah dapat menarik pelajar-pelajar untuk bergiat aktif dalam bidang sukan? [4 markah]