Wednesday, August 12, 2009

Pemahaman Prosa Moden

Khusus untuk pelajar-pelajar 5 Sains SMK Sungai Kruit, Sungkai
Jawab semua soalan di bawah dan jawapan boleh dihantar secara bertulis atau emel kepada aer4732@yahoo.com

Latihan 1

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hidung Datuk Sukar kembang kempis.
“Sehingga ini saya masih percaya Datuk bukan ... bukan ... bukan ...” Suara Fuad menggelegak. “Datuk bukan seorang penyamun.”
Datuk Sukar melompat garang.
“Baik Fuad, baik.” Datuk Sukar berlari naik ke atas.
Fuad mencapai kertas perjanjian dari atas meja, memasukkan ke saku bajunya.
Datuk Sukar berlari turun. Mukanya menggerutu.
“Ini geran tanah mak kau. Ambil balik,” kata Datuk Sukar keras. “Kau sengaja membunuh peluang untuk jadi kaya-raya Fuad. Dan kau juga ... kau juga sengaja membunuh peluang untuk hidup di samping Junainah.”
“Ayah?” Junainah menerkam Datuk Sukar.
“Kau diam Junainah, diam!” tempik Datuk Sukar.
“Jangan lepas mulut bang,” pinta Datin Sipah.
“Awak juga diam Sipah, diam!”
“Saya tahu, itu bukan kata hati Datuk.” Fuad berusaha melembutkan semula suaranya. “Saya tahu....”
“Kau boleh pergi Fuad.” Datuk Sukar menuding ke arah pintu. “Dan mulai hari ini, jangan pijak lagi ke rumah ini. Kau juga bukan pekerja aku lagi.”

1.Kemukakan tiga bukti daripada petikan yang menunjukkan bahawa Datuk Sukar begitu marah. (3 markah)

2.Ibu bapa sepatutnya tidak campur tangan dalam soal anak-anak untuk memilih jodoh masing-masing. Berikan pendapat anda. (3 markah)

3.Huraikan aspek plot yang paling menonjol dalam petikan di atas. (3 markah)

Latihan 2
Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Puteri Hang Li Po:Begini Orang Kaya, beta sangat-sangat kesunyian kebelakangan ini. Sudah lima hari Sultan tidak datang ke sini. Sementara pemergian Tun Perpatih Putih ke negara China untuk menghadap ayahanda beta, Orang Kaya ditugaskan menjadi penasihat beta. Oleh itu, nasihatkanlah hati ini agar terhibur jua. Sudi apalah kiranya Orang Kaya menghibur hati ini yang sangat rindukan belaian kasih sayang tuan hamba.
Hang Jebat:(Seolah-olah terkejut) Tuanku Puteri! Sembah derhaka patik sembahkan Tuanku Puteri. Fahamlah patik sekarang bahawa Tuanku Puteri menaruh hati pada patik. Demi Allah, tidak patik sangka patik yang hina ini boleh dikasihi begitu. Jika patik sangka begini padahnya tidak akan patik terima tanggungjawab ini dahulu.
Puteri Hang Li Po:Begitu sekali tuan hamba bencikan beta maka sampai hati menghina beta begitu. Apakah kurangnya beta pada mata Orang Kaya. Percayalah tuan hamba, kalau kasih yang beta hulur ini mendapat sambutannya, pandailah kita sama-sama merahsiakannya.
Hang Jebat:Tidak Tuanku Puteri. Tidak sekali-kali akan hamba lakukan. Patik hulubalang Melayu. Sultan junjungan patik. Tuanku Puteri juga isteri Sultan dan dengan itu junjungan patik jua. Amat durjana hamba ini kalau atas nafsu yang tidak bertanggungjawab merelakan dirinya menderhakai junjungan. Setelah diberi kepercayaan itu janganlah Tuanku Puteri menguji pula keperwiraan dan taat setia patik terhadap tuan patik.

1. Nyatakan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Puteri Hang Li Po untuk menggoda Hang Jebat. (3 markah)
2. Sekiranya anda di tempat Hang Jebat, apakah tindakan anda setelah digoda oleh Puteri Hang Li Po. (3 markah)
3. Berdasarkan petikan di atas, huraikan 3 nilai murni yang dimiliki oleh Hang Jebat. (3 markah)

No comments:

Post a Comment