Saturday, August 15, 2009

Peperiksaan PTK


ASAS KOMPETENSI TERAS

Tata Kelakuan dan Sahsiah Guru Sebagai Penjawat Awam

1. Etika Perkhidmatan Awam
– Meningkatkan kefahaman mengenai nilai dan etika terutamanya berkaitan dengan Perkhidmatan Awam
– Menghayati Nilai dan Etika dari perspektif individu dan organisasi
– Membentuk penjawat awam yang bermoral dan beretika tinggi

Definisi Nilai
Nilai adalah ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Mengikut kajian sejarah, ilmu, kebijaksanaan, keadilan dan iktidal ( temperance ) merupakan nilai-nilai utama masyarakat.
Definisi Etika
Etika bermaksud tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Seseorang anggota perkhidmatan awam berkewajipan memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku seseorang pekerja dalam kerajaan. Etika boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap pelanggannya atau masayarakat. Etika kerja dalam perkhidmatan awam merupakan prinsip-prinsip moral yang ditetap oleh institusi kerajaan dengan tujuan mengawal tingkah laku anggota-anggota organisasi, demi memastikan tingkah laku mereka tidak bercanggah dengan sistem nilai organisasi berkenaan. Etika kerja ini merupakan panduan prinsip tingkah laku setiap anggota kerajaan berlandaskan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam. Etika kerja perkhidmatan awam hendaklah dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip berikut;
Teras Perkhidmatan Awam
1. Berazam meninggikan mutu perkhidmatan awam.
2. Bekerja dengan penuh tanggungjawab.
3. Berusaha mengikis sikap mementingkan diri.
4. Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan.
5. Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara.
6. Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh negara.
7. Berpegang teguh kepada ajaran agama.
8. Menjalankan tugas dengan memanifestasikan kejujuran, keyakinan, adil dan saksama.
9. Sentiasa menghayati dan memelihara martabat pekerja.
10. Menepati masa, larangan dan arahan.
11. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan.
12. Mematuhi prosedur mesyuarat dan prinsip muafakat.
Langkah-langkah Meningkatkan Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam
1. Panduan Perkhidmatan Cemerlang
2. Penggunaan Kad Perakam Waktu
3. Kempen Bersih, Cekap dan Amanah
4. Dasar Pandang Ke Timur
5. Peggunaan Tanda Nama
6. Kepimpinan Melalui Teladan
7. Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Awam
8. Tonggak Dua Belas
9. Citra Karya (Rukun Negara, Perintah Am, Arahan Perbendaharaan, PKPA.)

Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam
1. Taat setia
2. Amanah
3. Bertanggungjawab
4. Ikhlas
5. Dedikasi
6. Tekun
7. Berdisiplin
8. Sederhana
9. Bersih
10. Bekerjasama
11. Berbudi mulia
12. Bersyukur


2. Etika Profesion Keguruan
Tanggungjawab Terhadap Pelajar
a. Mengutamakan kebajikan dan keselamatan.
b. Bersikap adil tanpa mengira kedudukan.
c. Merahsiakan maklumat ikhtisas kecuali kepada pihak yang berhak mengetahuinya.
d. Membimbing pelajar tanpa sebarang bayaran.
e. Menunjukkan contoh berpakaian, pertuturan dan tingkah laku.
f. Memelihara dan membaiki kecekapan ikhtisas.
Tanggungjawab Terhadap Ibu bapa
a. Menghormati peranan dan tanggungjawab ibu bapa.
b. Mewujudkan hubungan mesra.
c. Menganggap semua maklumat daripada ibu bapa adalah sulit dan rahsia.
d. Memberi dan menerima maklumat yang tepat tentang anak-anak.
e. Elakkan daripada terpengaruh dengan kedudukan ibu bapa.
f. Elakkan kata-kata yang boleh menjejaskan kepercayaan ibu bapa.
Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara
a. Tidak menyebarkan maklumat yang boleh merosakkan pelajar, masyarakat dan negara.
b. Memupuk nilai-nilai positif dalam diri pelajar.
c. Menghormati masyarakat di tempat berkhidmat.
d. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan
a. Elakkan daripada membuat kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik.
b. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai seorang guru.
c. Berusaha menunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh.
d. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat.
e. Mengawasi diri daripada melakukan sesuatu yang mencemarkan nama baik profesion.
f. Menjadi anggota sesebuah pertubuhan guru.

3. Standard Guru Malaysia
Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.
Latar Belakang
Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama dan bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya. Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.
Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global. Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:
”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”
(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru. Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.

Rasional
Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
1. Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan.
2. Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi.
3. KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan.
4. Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.

Tujuan
Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:
1. Mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
2. Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
3. Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.

Penggubalan
Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
1. Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik.
2. Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan.
3. Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:
1. Guru
· Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
· Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.
2. Pengetua Sekolah
· Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
· Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.

(Mudah-mudahan rakan guru akan memperoleh manfaat. Insayaallah, jika berkesempatan banyak lagi maklumat yang akan dapat kita kongsi bersama.

No comments:

Post a Comment