Wednesday, August 12, 2009

Rumusan (Bahasa Melayu 2 - SPM)

Salam sejahtera.

Kali ini saya akan memberi huraian lebih terperinci bagaimana menulis isi pendahuluan. Kita ambil petikan ini sebagai contoh.


Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menjadi penyebab perlakuan rasuah dan cara-cara untuk menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Rasuah merupakan perosak bangsa dan negara, sekali gus merupakan masalah besar yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia. Jika amalan rasuah tidak terkawal, jentera pentadbiran kerajaan akan lumpuh serta tidak berfungsi dengan baik dan akhirnya akan menyebabkan keruntuhan sesebuah negara. Amalan rasuah atau korupsi itu terdiri daripada berbagai-bagai jenis perlakuan. Kewujudannya dapat dilihat dalam pelbagai bentuk, saiz , tempat dan situasi. Oleh sebab itu, cara penyelesaiannya juga bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk ditangani. Pihak berkuasa memang menghadapi cabaran yang hebat dalam usaha membanteras kegiatan rasuah, terutamanya dalam kalangan kakitangan kerajaan.


Pendahuluan boleh ditulis dengan dua cara / pendekatan iaitu;

  1. Menukarkan kata kunci yang terdapat pada soalan (soalan yang menjurus kepada isi tersurat)
  2. Menyatakan pandangan secara keseluruhan mengenai petikan

Oleh itu, mulakan isi pendahuluan anda dengan "Petikan membincangkan .........

Sekiranya kita memilih pendekatan pertama, maka pendahuluan akan berbunyi begini - Petikan membincangkan punca-punca yang menjadi penyebab perlakuan rasuah. (kita gantikan perkataan faktor-faktor dengan punca-punca)

Sekiranya menggunakan pendekatan kedua, maka pendahuluan akan berbunyi begini - Petikan membincangkan penyebab perlakuan rasuah terutamanya dalam kalangan kakitangan kerajaan. (isi tambahan diambil daripada petikan - memang jelas petikan membincangkan isu rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan)

Sekian, selamat mencuba.


No comments:

Post a Comment