Monday, August 10, 2009

Soalan Bahasa Melayu SPM (Kertas 2)

Khusus untuk pelajar-pelajar 5Sains, 5 Teknik dan 5 Sains Kemasyarakatan


Tolong buat latihan rumusan ini.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca kemerosotan mutu sukan dan kesan-kesannya terhadap pembangunan sukan di negara kita.Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Walaupun pencapaian negara dalam bidang sukan telah mencapai tahap yang membimbangkan, namun semua pihak masih tercari-cari formula yang mampu mengatasi keadaan ini. Soalan seperti apa sebenarnya yang tidak kena, di mana silapnya dan kenapa ia terjadi begitu, sering ditimbulkan oleh pelbagai pihak tetapi jawapan mengenainya masih belum ditemui.
Ketika pencapaian negara dalam bidang sukan semakin merosot, rakyat Malaysia menyaksikan kemunculan infrastruktur dan kemudahan sukan bertaraf dunia di merata-rata tempat serta pengaliran dana yang tidak putus-putus dalam sektor itu selain penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan yang membuktikan kesunguhan kerajaan dalam memajukan bidang berkenaan. Di samping itu, lapan sukan teras dikenal pasti iaitu hoki, bola sepak, olahraga, skuasy, gimnastik, akuatik, badminton dan boling yang menerima peruntukan berjumlah RM193 juta daripada kerajaan bagi meningkatkan pencapaian pesertanya.
Dalam keghairahan melaksanakan usaha itu, beberapa masalah lama mungkin terlepas pandang, antaranya kekurangan padang permainan atau kemudahan untuk orang ramai bersukan, ketiadaan program pembangunan di peringkat akar umbi dan tiada kekuatan mental. Ketiadaan pertandingan sukan di peringkat daerah dan antara daerah bagi sekolah dan orang ramai seperti yang wujud suatu ketika dulu bagi mencungkil bakat baru dalam bidang sukan, turut menyumbang kepada kemerosotan pencapaian negara dalam bidang berkenaan hari ini. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata, "Bagi membolehkan sukan di Malaysia kembali maju, perubahan set minda perlu dilakukan. "Beliau berkata tanggungjawab melahirkan ahli sukan yang berkualiti tidak terletak di bahu persatuan, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Kebangsaan sahaja.
Ketiadaan proses untuk mengenal pasti pemain berkebolehan melalui pertandingan di peringkat daerah dan negeri serta penutupan beberapa akademi bola sepak yang diusahakan oleh negeri, banyak menyumbang kepada kekurangan pemain handalan yang dapat mewakili negeri masing-masing. Bekas setiausaha agung NUTP Datuk N. Siva Subramaniam berkata padang permainan di sekolah, terutama di bandar raya, semakin lenyap akibat pembangunan, yang sekaligus menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melakukan aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah. Beliau berkata banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan guru bahawa anak mereka tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah termasuk menyertai acara sukan sepanjang tahun.
Beliau juga memandang serius mengenai kurangnya sokongan guru besar dan pengetua sekolah dalam menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti sukan sepanjang tahun. "Ada sekolah yang menumpukan aktiviti kokurikulum hanya untuk tempoh tiga bulan pertama persekolahan bagi memberi tumpuan pada persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan manakala ada guru besar dan pengetua yang "membunuh" aktiviti sukan dengan menggantikan waktu mata pelajaran Pendidikan Jasmani dengan mata pelajaran lain. "Kita mempunyai jurulatih berkelayakan di sekolah, namun mereka tidak diberi peluang berbuat demikian," katanya.
Sesungguhnya, pembangunan sukan di negara ini perlu dijadikan agenda nasional serta melibatkan semua pihak kerana tanpanya, Malaysia akan terus ketinggalan dalam bidang ini walaupun banyak wang dibelanjakan untuk memajukannya.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Bernama – 11 Julai 2006)

Pemahaman Petikan Umum
1. Berikan maksud rangkai kata terlepas pandang. [2 markah]
2. Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan sukan di negara kita? [3 markah]
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak sekolah dapat menarik pelajar-pelajar untuk bergiat aktif dalam bidang sukan? [4 markah]

No comments:

Post a Comment