Wednesday, August 12, 2009

UJIAN DARIPADA ALLAH

Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi. Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi serangan virus H1N1. Kita mesti yakin bahawa sesuatu perkara atau kejadian tidak akan berlaku tanpa sebab. Begitu juga dengan pendemik maut H1N1 ini. Jadi, kita perlu sentiasa bersedia. Nasihat saya kepada para pelajar, jangan pandang mudah wabak ini. Patuhi segala arahan dan peringatan yang diberikan oleh pihak-pihak yang berwajib. Anda sendiri sepatutnya tahu di mana kedudukan anda dan bagaimana keadaan kesihatan anda.
Saya ingin menarik perhatian para pembaca, Allah sentiasa menguji hambanya dan ujian Allah boleh dalam bentuk bala atau nikmat. Bagi saya, pendemik H1N1 ini merupakan satu peringatan daripada Allah agar kita jangan terlalu sombong di muka bumi ini. Kita perlu insaf bahawa pada bila-bila masa sahaja ujian boleh berlaku. Oleh itu, kembalilah kepada ajaran agama. Jangan lagi kita berbalah antara satu sama lain. Semua kita adalah sama di sisi Allah. Tiada yang lebih mulia kecuali orang yang tinggi nilai imannya.
Untuk para pelajar, jadikanlah apa yang menimpa kita pada hari ini sebagai satu pengajaran. Tanamkan tekad dan iltizam untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menyayangi antara satu sama lain. Kita hidup hanya sementara. Jadi lakukanlah yang terbaik.
Khusus untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini, jaga kesihatan anda. Andalah harapan bangsa. Pastikan anda mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan H1N1. Semoga Allah melindungi anda semua.

No comments:

Post a Comment